Rabu, 27 Jun 2007

Antara Realiti dan Fantasi

Lebih sebulan saya berada dijalanan, kesibukan bekerja membuatkan saya leka seketika melihat peluang-peluang yang ada, sesekali menjengah ke FORUM URUSINSAN dan dapatlah saya melihat pelbagai pertanyaan dan rentetan pelihal pengurusan kewangan. Bagi kebanyakan kes ramai yang keliru antara masalah kewangan dengan masalah peribadi atau apa yang saya panggil sebagai "MASALAH DALAMAN", ramai yang keliru antara keduanya dan ramai yang beranggapan bahawa mereka mempunyai masalah kewangan sedangkan sebenarmya mereka mempunyai "MASALAH DALAMAN".

Ada yang bertanya dengan saya, "Encik Zaidi, saya tidak mahu dibelenggu oleh hutang" , "bagaimana caranya untuk keluar dari beban hutang" , " saya tidak mahu susah" , cuba anda baca dan perhatikan perkataan yang sering mereka gunakan , perkataan seperti susah , hutang , tidak dan sebagainya. perkataan NEGATIF yang di utamakan oleh mereka. Golongan seperti ini menginginkan kesenangan tapi malangnya mereka memfokuskan pada kesusahan. Apa maksud sebenar saya, mari kita lihat senario-senario berikut dan fikirkan secara mendalam adakah apa yang saya cuba ketengahkan ini salah?

Fantasi 1

Mudah untuk buat wang dan kemashuran, masuk program REALITI TV jadi penyanyi, pelakon, pelawak, penari dan sebagainya sebagai cara mudah untuk buat wang dan kemashuran, boleh jadi kaya, boleh kahwin orang kaya, glamor dan sebagainya. Cara mudah, masuk program TV, masuk peraduan dan sebagainya, semuanya kelihatan mudah dikaca TV, di Radio dan di surat khabar.

Realitinya

Yang sebenarnya buat duit ialah syarikat TV, syarikat Radio, Pengiklan, penjual produk dan peniaga. Yang menghabiskan duit ialah penonton, penghantar SMS, yang masuk peraduan dan yang beli produk. Itu hakikat dan realitinya. Yang runtuh ahlak dan tidak bermoral ialah penyanyinya, pelakonnya, artisnya dan penontonnya. Itu ialah hakikat dan realitinya. Orang lain yang kaya dan buat duit, yang ramai-ramai lain melopong je la di perbodohkan.

Fantasi 2

Cukup mudah buat duit, masuk skim piramid, skim cepat kaya, pelaburan internet.

Realitinya

Yang kaya dan buat duit ialah penganjur skim piramid, penganjur skim cepat kaya, tukang kutip duit skim. Yang bodohnya ialah mereka yang masuk skim, yang kena tipu dan yang tak serik-serik ingat boleh senang dengan mudah dan cepat kaya.


Fantasi 3

Ramai orang yang saya temui inginkan kesenangan, kekayaan dan kegembiraan. Mereka kononnya beli rendah dan jual pada keadaan mahal atau ingin melabur pada masa murah dan kemudian boleh jual pelaburan pada masa harga tinggi untuk mengaut keuntungan.

Realitinya

Kebanyakan dari mereka adalah golongan yang cakap tak serupa bikin. Mereka kata mereka mahu senang, tetapi tingkah-laku dan perbuatan mereka menjuruskan kepada kesusahan. Mereka "contradicting" diri mereka sendiri. Mereka nak senang tapi mereka berhutang, mereka nak senang tapi beli rumah yang mereka tidak mampu bayar, mereka nak senang tapi mereka beli kenderaan diluar kemampuan mereka. Mereka nak senang tapi mereka buat sesuatu perkara yang menyusahkan hidup mereka.


Mereka kononnya beli pada masa murah dan jual pada masa mahal, lihat sahaja pada masa kini pada ketika harga hartanah sedang naik, masa kinilah ramai yg berebut-rebut nak melabur dalam hartanah, pada hal 5 tahun dahulu ketika harga hartanah benar-benar murah takda pulak nak beli, sampai "DEVELOPER" terpaksa tanggung rugi sebab takda pembeli dan pada masa itu hartanah dijual pada harga diskaun. Kini ketika semuanya makin mahal, ketika itu lah baru berebut nak melabur. Mana logik akal kita, apa yang difikirkan tak sama seperti perbuatan kita. Ramai yang cakap tak serupa bikin. Pada masa pasaran ekuti dan pasaran saham sedang naik, pada masa tu la nak melabur, masa tu la nak beli saham, dulu 2-3 tahun yang lepas masa pasaran saham lembab takda pulak sibuk nak beli saham, masa harga saham murah, saham seperti MAXIS masih mampu dimiki, kini semuanya dah terlambat, dah terlepas kapal, baru terkial-kial nak melabur. Dulu masa sebelum naik gaji (sebelum kerajaan naik gaji), harga barang masih rendah, boleh belajar menyimpan wang, buat tabungan, sekarang bila dah naik gaji, harga pun dah naik, masa nie la jugak sibuk nak berbelanja, simpanan tak jugak buat-buat. kebanyakan dari kita cakap tak serupa bikin dan masih lagi juga begitu.

Perbezaan antara orang miskin dengan orang kaya, orang susah dengan orang senang adalah cara mereka berfikir ( state of mind) objektif utama mereka serta tindakan yang mereka ambil. Jika mahu kaya dan senang kenapa buat perkara yang menjadikan kita miskin dan menyusahkan hidup kita? Tidakkah itu benrcanggah dengan apa yang kita inginkan? Mungkin ramai yang tidak faham. Biar saya bagi contoh sebuah realiti kehidupan.

Mamat berpendapatan RM1500 sebulan, isteri tidak bekerja dan mempunyai dua orang anak, seorang penghisap rokok. Menyewa sebuah rumah, memiliki sebuah kereta. Mempunyai hutang PTPTN yang masih belum habis dibayar, hutang kereta, hutang kad kredit dan terlebih belanja sebanyak RM300 sebulan. Duit sentiasa tidak mencukupi. Mamat mahukan kesengan dan tidak mahu susah dan sering mengeluh mengenangkan nasib beliau. Keadaan dan kondisi diatas sering kita dengar dan lihat dan malah mungkin salah seorang dari anda yang membaca sedang mengalami keadaan diatas.

Mamat seorang yang cakap tak serupa bikin, beliau mahukan ksenangan dan tidak mahu susah tapi perbuatan mamat bercanggah dengan apa yang beliau mahukan. Mamat tidak mempunyai masalah kewangan, mamat mempunyai masalah dalaman. Mengapa saya kata begitu? mari kita lihat kupasan dari masalah yang sedang dihadapi oleh Mamat.

  1. Mamat kata dia nak senang, tapi pada awalnya beliau berumahtangga biarpun beliau tahu beliau tidak mampu untuk berumahtanga, mamat bukan sahaja telah menyusahkan dirinya sendiri malah telah menyusahkan isterinya (tahu tak mampu nak sediakan wang hantaran beribu-ribu, nak juga bagi hantaran beribu dan buat kenduri beribu, akhirnya terpaksa berhutang untuk kawin).
  2. Mamat mempunyai anak , beliau tetap buat anak biarpun mamat tahu beliau tidak mampu untuk membesarkan anak beliau, mamat bukan sahaja telah menyusahkan dirinya malah mamat telah menyusahkan keluarga dan anak-anaknya. Akan ada yang berkata, anak-anak membawa rezeki atau anak itu adalah rezeki, betul dan saya tidak menafikannya, tetapi siapa yang kena cari rezeki tersebut? anak-anak mamat atau mamat sendiri?
  3. Mamat membeli kereta yang beliau tidak mampu - Mamat tetap membeli sebuah kereta biarpun mamat tahu kereta tidak memberikan pertambahan nilai malah susut nilai dan beliau juga tidak mampu bukan sahaja untuk membayar bayaran bulanan kereta tersebut malah tidak mampu untuk memelihara kereta tersebut. Nak juga beli kereta baru, beli kereta second hand tak nak. Beli kereta Nissan Sunny 120Y 15 tahun dengan harta kurang dari RM5 ribu tak nak.
  4. Mamat tetap hisap rokok biarpun mamat tahu hisap rokok itu bukan sahaja memudaratkan kesihatannya malah menyusahkan kewangan beliau, kalau kenyang dengan hisap rokok serta tak perlu beli beras takpa la jugak, rokok nak ,makan pun nak jugak.
  5. Mamat kata beliau nak senang tapi tak nak berusaha untuk memilki rumah sendiri, biarpun telah memperolehi dua orang anak, tapi masih terus menyewa (duit rokok kalau kumpul dalam masa 5 tahun dah boleh buat duit downpayment beli rumah)

Itu hanya sebilangan kecil tangkah-laku dan perbuatan mamat yang bercangkah dengan kehendaknya untuk menjadi senang. Mungkin ramai pembaca berpendapat bahawa perkara atas telahpun berlalu dan tidak boleh diputar semula, tetapi selagi mamat tidak menukar cara dia berfikir dan tindakan beliau, sampoai bila-bila pun Mamat tidak akan senang dan akan sentiasa terus-menerus susah.

Persoalannya bagaimana untuk mengubah dan memperbaiki keadaan mamat? Senang untuk dilakukan jika mamat berubah dan amat payah dilaksanakan jika belaiu masih tidak berubah. Apa yang perlu mamat lakukan?

  1. Mendalami diri sendiri dan mula berfikir dan bertindak seperti mana orang kaya berfikir dan bertindak dan berhenti menyusahkan diri sendiri ( berhenti buat perkara yang bercanggah dengan objektif serta kemahuan fikiran)
  2. Secara fizikal Mamat boleh berhenti dari buat anak lagi sehingga ekonomi keluarganya kukuh.
  3. Berhenti buat hutang baru sehingga hutang lama selesai.
  4. Berhenti dari berbelanja perkara yang tidak memberikan nilai tambah seperti membeli barangan pengguna, berhenti merokok dan sebagainya.
  5. Fokus kepada perkara yang memberikannya nilai tambahan dan pendapatan seperti mula menabung di ASB yang memberikan pendapatan tahunan.
  6. Jangan buat perkara yang bercanggah dengan keinginan untuk senang.


Tidak susah untuk hidup senang, terdapat 4 jenis faktor yang memungkin seseorang itu hidup senang, dan jika dilakukan dengan betul satu persatu, ia dapat memberikan kekayaan kepada pengamalnya.

  1. Pendapatan
  2. Simpanan
  3. Pelaburan
  4. Ringkas (simplification) dan sederhana

Tidak dinafikan bahawa 95% kekayaan sesebuah negara dimiliki oleh 5% dari penduduknya dan manakala 95% daripada penduduk sesebuah negara bekerja untuk 5% dari penduduknya. Terdapat 3 jenis pendapatan:-

Jenis Pendapatan Pertama - Hasil daripada 95% dari penduduk sesebuah negara, cara yang paling susah untuk cari rezeki iaitu menukar masa dan tenaga mereka dengan wang. Seseorang yang bekerja makan gaji menukar masa dan tenaganya bekerjanya dengan wang. Untuk mendapatkan pendapatan yang lebih beliau kena buat kerja lebih masa serta memerlukan lebih tenaga. Bagi saya ini merupakan pekerjaan yang susah tetapi 95% rakyat sesebuah negara memilih untuk mencari rezeki dengan cara ini. Pendapatan jenis ini tidak dapat di ulang-ulang (repeat) kerana anda tidak dapat menduakan diri anda (duplicate). Anda akan memerlukan lebih masa dan lebih tenaga hanya untuk mendapatkan pendapatan lebih.

Jenis Pendapatan Kedua - 4% daripada rakyat sesebuah negara memilih untuk mencari rezeki dengan menjadi pelabur yakni memilih buat wang dengan wang. Mereka menukar nilai wang yang ada kepada nilai wang yang lebih tinggi, dengan kata lain buat wang dengan wang dengan menjadi seorang pelabur dan 94% rakyat sesebuah negara bekerja untuk mereka. Mereka tidak berniaga tetapi mereka memiliki perniagaan. Golangan ini memiliki harta yang memberikan mereka pendapatan serta nilai tambah melalui pertambahan modal atau capital gain. Mereka menghabiskan banyak masa mempelajari cara serta kaedah untuk menukar wang yang bernilai rendah kepada wang bernilai tinggi.

Jenis Pendapatan Ketiga - hanya 1% daripada rakyat sesebuah negara memiliki pendapatan dari pelbagai sumber, pendapatan jenis ini dikenali sebagai MSI atau MULTIPLE SOURCE OF IMCOME". Mereka tidak mempunyai pekerjaan tetapi mereka mencipta pekerjaan, golongan ini tidak berniaga tetapi memiliki perniagaan, mereka bukan pelabur tetapi memiliki pelaburan, mereka ini mempunyai pelbagai sumber pendapatan. Wang datang melayang-layang dari pelbagai arah tetapi hanya 1% daripada rakyat dari sebuah negara mepunyai pendapatan sebegini dan hanya 1% rakyat sesubuah negara menghabiskan waktu belajar untuk menukar cara mereka berfikir serta tindakan mereka supaya mereka dapat meningkatkan bukan sahaja pendapatan malah mengekalkan kekayaan mereka.



Terpulang kepada anda yang mana satu jenis pendapatan yang anda inginkan dan berusahalah untuk mendapatkannya. Saya tidak perlu mengupas lebih panjang lebar tentang simpanan, ini kerana simpanan adalah asas kekayaan. kunci kekayaan bukan pada pendapatan tetapi pada simpanan, rahsia kekayaan bukan bergantung kepada berapa banyak pendapatan anda tetapi berapa banyak yang boleh anda simpan dari pendapatan anda "It's not how much you make but how much you keep". Lebih banyak simpanan anda secara automatik pendapatan anda akan meningkat, Jika anda masih tidak tahu bagaimana untuk menyimpan atau bagaimana simpanan dapat membantu anda, sampai bila-bila pun anda tidak akan senang tidak kira berapa banyak pendapatan anda sekalipun, anda akan menghabiskan banyak masa bekerja untuk mendapatkan pendapatan lebih dan terus membuang masa dan tenaga anda, tanpa anda sedari masa berlalu apa yang ada didepan anda hanyalah barangan yang tidak bernilai yang mana wang anda telah dihabiskan, kini yang ada hanyalah sisa-sisa kehidupan dihari tua yang penuh dengan kegelapan. Mereka yang mempunyai simpanan hidup lebih senang dan selesa dihari tua ketika mereka tidak boleh lagi bekerja, mereka masih boleh menjalani kehidupan tanpa perlukan bantuan sesiapa, hidup tenang tanpa beban kewangan. Simpanan adalah asas kepada kekayaan.

Apabila anda mempunyai simpanan, cara untuk meningkatkan nilai harta bersih anda (NetWorth) atau simpanan anda adalah dengan mengembangkan harta serta simpanan anda melalui pelaburan, ada bermacam bentuk pelaburan yang boleh disesuaikan dengan profil risiko anda. Anda perlu kenal diri dan mengetahui apakah toleransi risiko boleh terima anda. Ada pelaburan berbentuk Capital Gain (peningkatan modal) dan ada juga yang berbentuk pendapatan (Income Generation), sebagai contoh Land Banking adalah pelaburan berbentuk peningkatan modal, ASB pula memberikan pendapatan manakala hartanah seperti kediaman dan komersil pula memberikan peningkatan modal dan pendapatan. Asas kepada pelaburan adalah simpanan, bagaimana anda ingin melabur jika tidak mempunyai modal? sedikit sebanyak anda memerlukan modal sendiri dari simpanan buat permulaan pelaburan sebelum anda boleh bersandar (leverage) pihak ketiga seperti institusi kewangan bagi meningkatkan pegangan (ikuiti) pelaburan anda. Pelaburan juga perlu bagi mengekalkan kekayaan anda, tanpanya bagaimana anda boleh mengekalkan harta dan nilai harta anda masa depan tanpa pelaburan.

Yang terakhir adalah hidup dalam keadaan ringkas atau kesederhanaan, tidak guna anda mempunyai pendapatan yang tinggi, simpanan yang tinggi serta pelaburan yang tinggi jika anda mempunyai taraf kehidupan yang tinggi kecuali anda adalah seorang multi-millionaire atau billionaire yang mampu hidup serba mewah, biarpun begitu tidak semua yang bertaraf multi-millionaire atau billionaire yang hidup mewah, lihat sahaja mereka sepeti Bill Gates, Warren Buffet, Al-Buhari dan sebagainya hidup sebagai orang yang dikenali serata dunia sebagai dermawan yang membelanjakan lebih setengah harta mereka kepada badan-badan serta aktiviti kebajikan, siapa bilang orang kaya kedekut? Ianya adalah mitos semata-mata. Saya kira yang membaca artikel ini bukan multi-millionaire atau billionaire bukan. Oleh itu kesederhanaan dalam menjalani kehidupan amat penting, Ianya menjadikan kita lebih bersyukur dan merendah diri terutama pada tuhan dan insan lain. Fikirkanlah, jika anda inginkan kehidupan tanpa perlu bekerja, cukup wang dan penuh kegembiraan, rasanya ianya akan lebih cepat tercapai jika anda mempunyai kehidupan yang sederhana dan ringkas berbanding dengan orang yang hidup mewah dan boros, mereka pasti perlu bekerja lebih kuat dan memerlukan masa yang lebih lama untuk mencapai kebebasan kewangan berbanding mereka yang hidup sederhana dan ringkas, hidup tenang tanpa beban kewangan. Saya sendiri tidak akan mencapai apa yang saya capai hari ini yang mana kebanyakan orang hanya boleh bermimpi jika saya hidup dalam kemewahan, kehidupan yang serba ringkas serta serba sederhana memungkinkan saya memiliki apa yang saya miliki kini. Tanya sahaja mereka yang mengenali saya atau yang pernah bertemu dengan saya.

Itulah antara fantasi dan realiti kini, jika anda betul-betul percaya dengan apa yang anda fikirkan maka lakukanlah perkara yang sehaluan dengan apa yang anda inginkan dan bukannya sebaliknya. Untuk menjadi senang dan memiliki kekayaan amat mudah dan senang, masalahnya ialah kebanyakan orang memang sengaja mencari susah dan kemudiannya menyalahkan orang lain serta keadaan atas kesusahan dan kepayahan yang mereka alami sedangkan takda orang yang memaksa mereka mencari susah. Kebanyakan dari kita juga tidak menggunakan logik akal ketika berfikir atau membuat sesuatu keputusan kewangan. Sebagai contoh, jika anda memilki satu sijil simpanan premium yang bernilai RM1K yang memungkinkan anda memenangi sebuah rumah bernilai RM1 juta. Jika saya menawarkan anda Sijil ASB yang bernilai RM10K yang memberikan pendapatan RM800 setahun, mana satu pilihan anda? kekal dengan sijil simpanan premium bernilai RM1K dengan besar kemungkinan tidak akan menang rumah RM1 juta atau sijil ASB yang memberikan anda pendapatan RM800 setahun? dimana logik akal anda? fikir-fikirkanlah. Hidup ini mudah jika anda mahukannya mudah dan ianya akan menjadi susah jika anda sendiri yang cari susah.

Jawapan : Jika anda memilih Sijil Simpanan Premium, maka anda terdiri dari golongan yang tidak menggunakan akal untuk berfikir, suka berangan dan menyusahkan diri sendiri dan cakap tak serupa bikin.

Oleh kerana itu saya sering menyatakan bahawa kebanyakan orang tidak mempunyai masalah kewangan tetapi lebih kepada masalah dalaman seperti tidak tahu mengurus kehidupan terutama mereka yang tidak tahu tujuan serta halatuju kehidupan dan melakukan sesuatu tindakan hanya berdasarkan apa yang dilakukan oleh orang ramai (Pak Turut). Ini mengakibatkan kebanyakan tindakan mereka merugikan diri mereka sendiri. Akan tetapi mereka sering menyalahkan orang lain sedangkan mereka sendiri yang menentukan hidup mereka bukan orang lain.

Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk memperbaiki kehidupan anda.

  1. Cari tujuan hidup
  2. Kelilingi kehidupan anda dengan orang-orang positif
  3. Cari atau sediakan persekitaran baru, ubah rutin kehidupan anda.
  4. Hidup berpandukan agama.
  5. Dapatkan bantuan dari mereka yang bertauliah atau berpengalaman.
  6. Cari Ilmu yang dapat membantu anda.
  7. Sentiasa menggunakan akal untuk berfikir bukan ikut nafsu dan hati, seperti kata orang tua-tua, ikut hati mati dan ikut rasa binasa.

Oleh : Zaidi Ismail - urusinsan@gmail.com


Pengalaman Hidup Dalam Dan Luar Negara

Pengalaman di AUSTRALIA November 2007